Sediakan payung sebelum hujan

7 Oct 2014
Insurans adalah satu alat kewangan yang boleh dibeli  bagi melindungi individu, keluarga , ataupun aset dalam tempoh tertentu daripada sesuatu kemungkinan yang boleh berlaku seperti kemalangan.  Insurans adalah salah satu langkah untuk menyediakan diri  dengan perlindungan atau penimpal daripada segi kewangan .
Hakikatnya perlindungan insurans mampu berfungsi apabila seorang pengguna membuat bayaran premium kepada sesebuah syarikat insurans. Oleh itu, syarikat tersebut  akan  menggantikan barangan yang telah dimusnahkan atau dirosakkan sekiranya kerugian tersebut memenuhi syarat- syarat yang telah ditetapkan dalam permohonan insurans.
Hal ini dapat mengurangkan kerugian yang perlu ditanggung sekiranya  sesuatu peristiwa  buruk  berlaku. Bagi memastikan bayaran insurans ini sah, pembeli insurans berhak menuntut bayaran dalam tempoh sah insurans dan memenuhi had minima jumlah ganti rugi insurans yang ditetapkan sepertimana tercatat dalam syarat perjanjian yang ditandatangani antara syarikat insurans dan pembeli pada peringkat awalnya.
Jurucakap Pusat Insurans Am Malaysia, Aina Rozaila ketika dihubungi wartawan Berita Kampus baru-baru ini berkata insurans terbahagi kepada tiga jenis  iaitu Insuran Hayat, Insuran Am dan Takaful.
“Bagi Insurans Hayat, ia meliputi risiko seperti kematian,  jangkitan penyakit,  kecacatan dan rawatan hospital. Di bawah risiko-risiko ini, pihak insurans menawarkan pelbagai pakej insurans yang bersesuaian dengan kemampuan pengguna  seperti  insurans sepanjang hayat, insurans  perubatan dan kesihatan dan insurans hayat penggal.
“Bagi perlindungan Insurans Am pula melibatkan perlindungan aset pembelian insuran daripada kerosakan dan kecurian. Beberapa aset yang boleh diinsuranskan ialah kenderaan, rumah, perjalanan, barang persendirian,”  katanya.
Aina  berkata perlindungan Takaful  merupakan sebuah perlindungan insurans  yang berasaskan prinsip Islam atau syariah. Insurans jenis ini mempunyai tiga jenis iaitu takaful rumah, takaful kenderaan  dan kemalangan persendirian.
Dalam laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam ucaptama Kongres Insurans Asia Timur ke-26 berkata perkhidmatan  insurans yang ditawarkan di rantau asia terutamanya Malaysia  meningkat pada tahap yang baik.
Menurut beliau hal ini terjadi berikutan permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat atas kesedaran perlindungan diri oleh insurans demi menjamin masa hadapan yang lebih baik.
Pengawai Perhubungan Pelanggan, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Fadzi Hamid ketika dihubungi  berkata  masyarakat Malaysia kini mula sedar akan kepentingan perlindungan insurans. Hal ini dapat dilihat daripada peningkatan bilangan pembelian insurans di Malaysia saban tahun.
“Rekod menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia menumpukan kepada perlindungan insurans kesihatan diri selain daripada perlindungan insurans kepada aset yang dimiliki. Selain itu, masyarakat malaysia juga terutamanya kaum Melayu tertumpu kepada insurans takaful yang berlandaskan kepada hukum syariah,” katanya.
Seorang siswi Universiti Sains Malaysia(USM), Asyikin Azmi, 23, berkata bahawa  dia mengambil insurans sejak berumur lapan tahun lagi.
“Ibu bapa saya sangat mementingkan perlindungan diri setiap anak-anaknya kerana melihat episod sedih yang dilalui oleh  anak kawan mereka yang menderita apabila ditimpa kemalangan tanpa perlindungan insurans.
“Saya berpendapat bahwa insurans amat berguna pada waktu kecemasan seperti ditimpa kemalangan dan kecacatan. Bayaran perlindungan insurans ini boleh digunakan untuk membiayai rawatan serta urusan kematian,” katanya.
Asyikin juga menasihatkan agar rakyat Malaysia tidak kedekut untuk mengeluarkan sedikit wang membeli insurans  bagi memastikan bahawa masa hadapan lebih terjamin. Selain itu, Normala berharap setiap individu yang ingin membeli  insurans perlu  berhati-hati  membeli agar tidak ditipu oleh firma dan agen insurans haram.


Sumber artikel:

No comments:

Post a Comment