Elak Muflis Di Usia Muda

21 Sept 2018
Mudahnya berhutang namun sukar untuk melangsaikan segala hutang yang dibuat dan akhirnya anda akan rasa terbeban. Ramai yang tahu tujuan apa mereka berhutang. Akan tetapi masih ramai yang kurang jelas atas keperluan apa mereka berhutang. Adakah kerana kehendak atau keperluan?

Paling merisaukan apabila golongan muda sering kali terpalit dengan permasalahan hutang akibat daripada ketidakcekapan dalam mengurus kewangan sehingga ada sesetengah daripada mereka diisytihar muflis diusia muda.

Oleh sebab itu, pentingnya untuk menentukan antara kehendak dan keperluan. Sebagai contoh kereta adalah keperluan untuk memudahkan perjalanan seharian. Namun kebanyakan golongan muda sering kali tewas dengan kehendak apabila membeli kenderaan yang sebenarnya menjangkau kemampuan sehingga terbeban dengan bayaran bulanan dan akhirnya tidak mampu konsisten membayar ansurans bulanan. Jadi apakah strategi untuk menguruskan hutang dan kewangan dengan baik?

Perkara pertama yang perlu dimulakan sebagai langkah melangsaikan hutang adalah dengan mengenal pasti jenis hutang dan berhenti daripada membuat hutang baru. Sebaik-baiknya cuba untuk menyelesaikan hutang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi terlebih dahulu. Buat pengiraan berapa jumlah yang tinggi terlebih dahulu. Buat pengiraan berapa jumlah yang perlu dibayar dan penjimatan faedah jika anda membuat bayaran penuh.

Sebagai contoh hutang kad kredit dan pinjaman peribadi adalah hutang yang kebiasaannya mengenakan kadar faedah yang tinggi. Oleh yang demikian, anda harus selesaikan dahulu hutang jahat dan pastikan jangan terlewat membayar kerana caj kelewatan akan menambahkan lagi beban hutang. Elakkan caj penalti kerana bayaran lewat dan cara terbaik adalah dengan menggunakan bonus tahunan anda untuk melangsaikan hutang tersebut. 

Buat senarai bajet dan perbelanjaan supaya anda tahu aliran wang tunai anda di tahap mana. Adakah pendapatan anda lebih daripada perbelanjaan? Jika ya, maka kedudukan aliran wang tunai anda pada tahap lebihan (positif) atau sebaliknya (negatif) yang disebut sebagai defisit. Sebagai contoh, duit gaji yang diperoleh setiap bulan ditolak dengan komitmen tetap yang perlu dibayar. Jika ada lebihan pendapatan maka tahap kewangan anda masih stabil dan jika tiada lebihan bermakna paras hutang anda sedang melebihi pendapatan. 

Sekiranya anda bijak menguruskan kewangan adalah lebih baik jika anda melabur lebihan pendapatan ke saluran yang betul seperti membuat simpanan, membeli perlindungan insurans, hartanah, atau melabur dalam unit amanah. Sebagai contoh, pembelian insurans nyawa amat penting untuk memastikan anda dan keluarga tidak terbeban dengan hutang jika anda hilang upaya atau meninggal dunia. Supaya hutang-hutang lain seperti kereta, rumah, pinjaman pendidikan atau peribadi dapat dilunaskan. 

Ramai yang sedar dan tahu tujuan mereka berhutang namun tanpa pengurusan hutang yang berkesan secara amnya setiap individu sukar untuk mencapai matlamat simpanan jangka panjang dan menguruskan hutang dengan baik. Impak negatifnya akan mengakibatkan lebih ramai individu diisytiharkan muflis. Jadi berbelanjalah secara bijak mengikut kemampuan kewangan anda. 

Sumber Foto:
http://logicalloss.com/wp-content/uploads/2016/04/calculate-weight-percentage.jpg
Read more ...