Skim Insurans Kemalangan Guru

15 Jun 2015
KEMAMAN 22 Feb. – Kementerian Pendidikan diminta supaya mewujudkan skim perlindungan insurans kemalangan untuk semua guru di negara ini bagi melindungi warga pendidik yang menjalankan tugas tanpa mengira waktu. 

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, skim perlindungan insurans tersebut dilihat sangat perlu pada masa ini memandangkan para guru sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko kemalangan termasuk ketika membawa pelajar menyertai aktiviti kokurikulum luar daripada waktu persekolahan. 

Beliau berkata, pihak kementerian sepatutnya memandang serius perkara itu kerana skim berkenaan boleh dianggap sebagai satu rangsangan khas buat warga pendidik ketika menjalankan tugas. 

“Pihak NUTP melihat, pada masa ini, guru lebih banyak bergerak untuk menjalankan tugas seperti menghadiri kursus, bengkel, taklimat dan aktiviti kokurikulum tetapi tidak ada sebarang polisi insurans khas untuk melindungi mereka. 

“Guru-guru ini bertugas tidak kira masa sehinggakan pada waktu cuti sekolah sekalipun, mereka tetap bertugas seperti menghantar pelajar untuk mengikuti program di luar waktu sekolah. Jadi, mereka ini lebih terdedah kepada risiko bahaya seperti kemalangan atau sebagainya.

“Justeru, saya berpendapat, pihak kementerian perlu memikirkan sesuatu untuk menjaga kebajikan ahli keluarga guru-guru ini sekiranya terjadi sesuatu perkara tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan persekolahan kepada 100 pelajar yang terjejas akibat banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Geliga, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Yim Pheng berkata, pihak kementerian juga disaran supaya mengadakan perjumpaan khas bagi membincangkan satu produk insurans khusus untuk warga guru yang melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seperti NUTP dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). 

Menurut Yim Pheng, ketika ini, tidak ada sebarang perlindungan untuk guru-guru terbabit dalam kemalangan termasuk kematian dan pihak yang menjadi mangsa dalam hal ini katanya, adalah ahli keluarga termasuk anak-anak mereka. 

“Inilah cara kita menghargai pengorbanan seseorang guru itu kerana mereka inilah yang merupakan tunjang kepada kemajuan pendidikan di negara kita. Sekiranya terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini, sekurang-kurangnya kebajikan ahli keluarga mereka akan terbela,” ujar beliau. 

Sumber artikel: www.utusan.malaysia.com.my

No comments:

Post a Comment