Penasihat Kewangan, Kumpulan Kewangan Capspring Temasik Sdn. Bhd., Mohd. Amin Maktar berkata, kebanyakan orang muda tidak memahami konsep berkenaan faedah, kebaikan dan keperluan memiliki skim berkenaan.

Katanya, rata-rata generasi mu­da merasakan mereka dalam keadaan selamat dan masih mendapat bantuan kewangan daripada ibu bapa serta merasakan polisi insurans terbabit bukanlah satu ke­perluan utama dalam kehidupan.

“Generasi muda sekarang lebih mementingkan untuk memiliki kenderaan, rumah dan gajet canggih berbanding membeli pelan perlindungan diri dan keluarga kerana merasakan perkara tersebut merupakan pilihan dan tidak begitu penting dalam usia mereka.

“Berdasarkan pengalaman selama 10 tahun dalam industri pengurusan kewangan ini, saya melihat, kebanyakan kesedaran masyarakat untuk memiliki polisi berkenaan hanya bermula pada usia 35 tahun ke atas dan membeli hanya apabila salah seorang ahli keluarga telah sakit atau terlantar di hospital,” kata­nya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sikap sebahagian besar golongan muda terutama orang Melayu yang belum sedar tentang kepentingan mempunyai insurans atau pelan perlindungan diri.

Kajian yang dijalankan oleh Perspective Strategies Sdn. Bhd. ke atas 2,021 responden di seluruh negara melibatkan beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta mendapati 75.6 peratus atau 1,528 orang tidak dilindungi insurans.

Malah, lebih mengejutkan apabila 76 peratus daripadanya adalah orang Melayu yang tidak memahami kepentingan pelaburan jangka panjang.

Menurut Mohd. Amin, kebanyakan syarikat insurans di negara ini kini menawarkan pelbagai pakej polisi insurans atau pelan perlin­dungan mengikut kemampuan dan kehendak pelanggannya.

“Bagi saya tidak timbul lagi isu mahal atau mereka (generasi muda) tidak mampu memiliki pakej asas insurans akibat terbeban de­ngan faktor kewangan memandang­kan harga pelan perlindungan terbabit disediakan mengikut bajet pengguna.

“Tidak semestinya membeli polisi yang harganya lebih murah, mereka tidak mendapat faedah yang mencukupi untuk melin­dungi diri daripada sebarang situasi yang tidak diingini seperti kemalangan, kecacatan dan kematian,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Amin berkata, golongan muda perlu memiliki pelan perlindungan sebagai perancangan jangka panjang dan kesedaran tinggi dalam kepenti­ngan memilikinya bagi memastikan mereka bakal mendapat perlindungan terbaik pada masa akan datang.

Sementara itu, Perunding Kewangan AIA Public Takaful Berhad, Yusnan Alwi Yusof berkata, pemahaman dan pendedahan mengenai kepentingan memiliki skim insurans masih kurang dalam kalangan generasi muda.

“Kebanyakan masyarakat di negara kita mempunyai persepsi dan stigma negatif mengenai keperluan membeli insurans dan menganggapnya tidak penting serta membazir memandangkan mereka tidak melihat akan manfaat malah faedahnya secara keseluruhan.

“Kesedaran mengenai kepentingan polisi ini masih rendah, saya cadangkan agar pendidikan kewangan diterapkan bermula pada peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti memandangkan insurans atau pelan perlindungan ini merupakan teras utama dalam perancangan kewangan,” katanya.