Kesihatan Aset Paling Berharga

22 Dec 2014


Apakah aset paling berharga dalam kehidupan seseorang? Adakah wang ringgit, atau harta benda? Tentu rata-rata akan menjawab kesihatan lebih penting dan berharga. Namun hakikatnya, ramai antara kita akan hanya ambil berat soal kesihatan apabila sudah jatuh sakit.

Sesetengah daripada individu sering mengabaikan penjagaan kesihatan. Alasan yang sering diberikan adalah kerana terlalu sibuk dengan rutin harian hingga tiada masa untuk bersenam dan menjaga pemakanan. 

Selain daripada kekal konsisten melakukan aktiviti fizikal, corak pemakanan yang betul juga menjadi faktor utama bagi mendapatkan kesihatan badan yang optimum. Ini kerana “Diri Anda Adalah Apa Yang Anda Makan”. Amalan pemakanan yang tidak betul boleh menjadi punca utama tubuh badan manusia ditimpa penyakit.

Tidak hairan ramai dikalangan individu lebih gemar mengambil makanan yang sedap dimakan berbanding makanan yang sihat dimakan. Kadang-kala akibat terlalu sibuk dengan tugas harian memaksa seseorang itu menjadikan makanan segera dan makanan proses sebagai menu hidangan harian kerana cepat serta mengenyangkan.

Tidak salah untuk menikmati makanan segera dan makanan proses. Namun jika makanan ini diambil secara kerap atau berlebihan ianya bakal memberi kesan buruk terhadap kesihatan diri malah mengundang pelbagai penyakit seperti obesiti, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan diabates.

Tidak dinafikan makanan proses seperti daging “burger”, “hot dog”, “nugget”, "maggi", makanan dalam tin dan makanan sejuk beku lain begitu mudah dan cepat untuk disediakan. Akan tetapi kandungan MSG, garam, lemak tepu dan kolestrol yang terkandung dalam makanan segera dan makanan proses lebih tinggi berbanding serat dan kebanyakan vitamin serta zat galian yang perlu oleh tubuh. 

Tubuh badan manusia memerlukan tenaga, protein, vitamin dan pelbagai serat untuk menjana tenaga supaya tubuh badan dapat menjana tenaga. Pengambilan makanan yang seimbang juga penting untuk keperluan tubuh badan manusia. Ini kerana, pengambilan makanan yang sihat membantu mengurangkan risiko berbahaya.

Oleh itu belum terlambat untuk anda mula mengubah gaya hidup secara sihat. Sayangi diri anda! Hargai kesihatan anda kerana kesihatan adalah sebuah nikmat yang tidak ternilai. Bukankah pepatah ada menyatakan mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Satu langkah dalam usaha untuk mencegah mampu menyelamatkan nyawa. Perlu juga diingat mengundang penyakit itu mudah namun untuk mengubatinya amat sukar. 

Apa yang penting anda perlu mempunyai kesedaran untuk memulakan amalan gaya hidup sihat. Masih belum terlewat untuk anda mengubah corak pemakanan secara sihat dan bersenam demi memperolehi kesihatan tubuh, minda, rohani dan jasmani yang sihat. Apapun tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a comment