Golongan Muda Harus Miliki Insurans

28 Jan 2015


Apabila berbicara mengenai insurans pasti ramai antara kita tidak berminat untuk mengetahui kelebihan perlindungan insurans itu sendiri. Sering kali kita terdengar pepatah menyatakan “Sediakan payung sebelum hujan”. Seolah menjadi kesukaran meyakinkan golongan muda bagi mengeluarkan sejumlah wang setiap bulan untuk membayar perlindungan insurans kesihatan, perubatan, kemalangan ataupun nyawa.

Golongan muda kebanyakan daripada mereka lebih gemar mendahulukan keinginan kehendak berbanding keperluan yang bakal memberikan perlindungan jangka masa panjang buat diri mereka. Sejujurnya tiada siapa mampu untuk menjangka apa yang akan terjadi dalam menjalani kehidupan seharian.

Mengapa golongan muda digalakkan membeli insurans seawal usia? Kerana kosnya lebih murah berbanding jika membelinya sewaktu meningkat usia. Seperti yang kita sedia maklum semakin hari kos sara hidup semakin meningkat. Ini bermakna kos barangan dan perkhidmatan juga turut meningkat. Tidak terkecuali untuk kos perubatan dan rawatan lebih-lebih lagi di hospital swasta yang kini boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Perlu diingat, kesihatan adalah suatu nikmat yang amat berharga buat semua insan di dunia. Sudah pasti keselesaan dan perkhidmatan terbaik sentiasa diinginkan sewaktu berada dalam keadaan sakit. Jadi golongan ini perlulah bijak memperuntukkan sejumlah wang untuk perlindungan insurans kerana ia adalah pelaburan bijak demi menjamin kualiti hidup mereka kelak.

Secara amnya setiap daripada individu terdedah dengan pelbagai potensi risiko masa depan dan masa kini. Sementara masih sihat dan masih muda sudah tiba masa untuk golongan muda mengambil langkah dalam melindungi diri dan harta benda. Penyakit mahupun musibah tidak mengenal usia, tempat dan bila waktunya akan terjadi. 

Mengambil langkah awal dalam melindungi diri dengan perlindungan tambahan seperti insurans bukan suatu kerugian. Malah ia bertujuan untuk menjamin kesihatan dan sumber kewangan di masa akan datang. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Sumber foto:

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjovjQyujyXRncjW7q9StQZfg99BSsiOOOLQ2P0oEe1JgOqJtI9v87mFPYswwjc8gSiXqmbCxCjFUSvrQgko3dipxeXFRdyW6yzpgNh59sgDwO_h9S-61M23qB10C4SYvCbUALGz_i1a5W8/s1600/Entrepreneurship_2011BIO.jpg

No comments:

Post a Comment