Insurans Sudah Jadi Keperluan

30 Mar 2018
insurans, perlindungan risiko, kewangan, kesihatan, nyawa, perubatan

Lazimnya, insurans hanya menjadi kepentingan apabila diri dilanda musibah. Namun kekangan wang, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan keadaan ekonomi negara yang sukar dijangkakan sekarang, ramai lebih mementingkan perbelanjaan isi rumah berbanding pengambilan insurans. Mungkin berlaku sedikit kelembapan dalam industri insurans?

Bagaimanapun, rakyat Malaysia masih mementingkan insurans kerana kesedaran mereka mengenai kepentingan perlindungan dalam kehidupan membabitkan kos perubatan yang meningkat.


Jika dilihat, banyak syarikat insurans menyatakan pertumbuhan insurans semakin meningkat dan berpotensi untuk berkembang memandangkan rakyat mula sedar mengenai kepentingan pengambilan insurans hayat dan perubatan.

Pengambilan insurans adalah penting walaupun terbeban dengan kos sara hidup tinggi dan keadaan ekonomi tidak menentu.


Ketua Jururawat Unit Perawatan Jantung di Hospital Tuanku Fauziah, Rusmira Ramli berkata, kepentingan insurans dilihat apabila memerlukan rawatan khas dan kos rawatan tinggi.


"Jika tiada insurans, untuk mendapatkan rawatan khas di hospital kerajaan, perlu menunggu masa lama. Jika ada insurans, ia memudahkan untuk dapat rawatan segera di hospital swasta," katanya.


Katanya, insurans juga memudahkan untuk memilih mana-mana pakar untuk rawatan.


Bagaimanapun katanya, hospital kerajaan juga menyediakan perkhidmatan rawatan terbaik bagi penyakit kritikal.


Pekerja swasta, Shukria Aziz berkata, insurans bukan lagi kehendak tetapi  adalah keperluan.


"Dengan banyak pendedahan, peratusan pemahaman dan kesedaran mengenai insurans semakin meningkat," katanya.


Pelaksanaan GST memberi kesan kepada perniagaan insurans namun tidak membebankan bagi menanggung segala kos perubatan yang akan meningkat.

Selain itu, tanggapan segelintir individu bahawa kemudahan kesihatan adalah tanggungjawab majikan juga masih diterapkan dalam kalangan masyarakat hari ini.


Katanya, pengalaman ahli keluarga dan kawan-kawan yang berhadapan dengan ejen tidak bertanggungjawab dalam hal-hal tuntutan menjadi punca orang ramai kurang membeli insurans.


"Mereka juga kurang memahami mengenai perlindungan insurans yang diambil dan cara penyampaian yang kurang berkesan daripada pihak insurans.


Bagi pelajar, Farah Nuzaily Zakaria berkata, pengambilan insurans penting namun masih ada segelintir masyarakat lebih mementingkan perbelanjaan harian.


Katanya, kadar dan harga semasa membeli insurans yang mahal juga menyebabkan orang ramai tidak mampu untuk menampung komitmen pembayaran setiap bulan.


"Pembayaran insurans minimum RM100 sebulan jika digunakan untuk keperluan harian pelbagai barang boleh dibeli. Masyarakat perlu diberi pendedahan dan kesedaran terhadap risiko yang bakal dihadapi sekiranya menghadapi masalah kesihatan ketika tidak mempunyai perlindungan.


“Persatuan insurans dan takaful perlu menganjurkan seminar percuma kepada masyarakat berkaitan dengan pengurusan risiko, sekali gus memberikan pendedahan umum kepada orang ramai,” katanya.

Sumber artikel:

Sumber Foto:

1 comment: