PUSA:
Jumlah kes kematian akibat kemalangan jalan raya yang dilaporkan meningkat
hampir setiap tahun dikhuatiri boleh menjejaskan populasi penduduk negara jika
tiada usaha segera dilaksanakan bagi menangani perkara itu.
Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim,
berkata keadaan itu juga boleh mewujudkan implikasi negatif terhadap
pertumbuhan ekonomi negara, terutama dalam konteks pembangunan sumber manusia.
"Malaysia
mencatatkan 476,196 kes nahas jalan raya sepanjang tahun ini, dengan
keseluruhannya membabitkan 6,674 kematian. Jika diikutkan kajian pakar,
termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), secara
purata setiap nyawa melayang ini bernilai RM1 juta berdasar nilai sumbangan
sumber manusianya.
"Ini
jelas memperlihatkan kerugian besar kepada negara, terutama dalam konteks
sumber manusia yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara.
Dari sudut jumlah penduduk, sudah pasti populasi kita semakin berkurangan jika
angka kematian disebabkan nahas jalan raya terus mencatatkan peningkatan,"
katanya.
Beliau
berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 2015 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Beladin, di sini petang tadi.
Hadir
sama Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Che Ab Rahim Che Daud;
Pengarah JPJ Sarawak, Ibrahim Othman dan Pegawai Daerah Pusa, Bujang Budin.
"Kita
sedih melihat banyak nyawa melayang, terutama membabitkan generasi muda yang
boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan usaha meningkatkan jumlah
populasi penduduk kita.
"Sayu
melihat ibu bapa kehilangan anak-anak mereka dalam kemalangan, isteri
kehilangan suami dan anak-anak kehilangan ibu serta ayah. Ada juga keluarga
mengalami trauma berpanjangan.... hilang tempat bergantung selepas kehilangan
insan tersayang disebabkan nahas jalan raya," katanya.
Bagaimanapun,
beliau yakin keadaan itu boleh berubah melalui pelbagai pendekatan bersepadu
dilaksanakan kerajaan melalui jabatan dan agensi bertanggungjawab, namun usaha
berkenaan perlu mendapat kerjasama dan sokongan masyarakat.
"Hasil
kajian dijalankan mendapati sebahagian besar kes kemalangan berpunca dari
kecuaian dan sikap orang ramai sendiri ketika berada di jalan raya. Justeru,
kita perlu berubah sikap dan mempunyai kesedaran untuk menghargai nyawa
sendiri.
"Bagi
kementerian, kita sentiasa bersedia bekerjasama menganjurkan pelbagai program
pendidikan dan kempen kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya, malah sedang
meneliti inisiatif lain yang boleh dilaksanakan tahun depan untuk tujuan
itu," katanya.
Rohani
turut menyambut baik inisiatif penganjuran Satu Komuniti Satu JPJ yang lebih
berkonsepkan program 'turun padang' untuk mendekati masyarakat, khususnya di
kawasan pedalaman dan luar bandar.
"Melalui
program seumpama itu, masyarakat pedalaman dan luar bandar boleh diberikan
kesedaran mengenai kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya, selain
membantu mereka mendapatkan lesen memandu.
"Di
Sarawak sendiri, ada kawasan yang terletak jauh dari pejabat cawangan JPJ
berhampiran hingga menyukarkan penduduk mendapatkan lesen memandu hingga ada
yang bertahun menunggang motosikal atau memandu kereta tanpa lesen,"
katanya.
Sumber Artikel: Berita Harian