Masyarakat Kurang Kesedaran Tentang Kepentingan Insurans

8 Jun 2015

Rata-rata masyarakat Malaysia masih kurang tahap kesedaran kepentingan perlindungan insurans. Kebanyakan individu masih ramai lagi yang tidak memahami kepentingan dan keperluan insurans. Persepsi mereka biasanya adalah menyatakan insurans tidak penting dan akan hanya menambah komitmen sedia ada. 

Masih muda dan masih sihat. Itu pandangan yang  akan diberikan kebanyakan individu apabila ditanya adakah sudah dilindungi oleh perlindungan insurans. Kebanyakan mereka masih merasakan perlindungan insurans tidak penting dan bukan keperluan utama dalam kehidupan.

Mengapa perlu menambah komitmen bulanan sedangkan majikan di tempat kerja telah menyediakan perlindungan insurans asas kepada setiap pekerja. Jadi tidak perlu bimbang atau membazir dengan membeli polisi insurans peribadi.

Jika itu persepsi yang diberikan, maka mereka seolah tidak memikirkan kesan masa panjang yang bakal berlaku dikemudian hari. Seolah mereka tidak memikirkan risiko yang akan menimpa semasa melakukan apa jua perkara dalam rutin seharian. Mungkin hari ini tiada apa yang menimpa diri, namun kita tidak tahu esok atau lusa bagaimana?

Sesungguhnya malang tidak berbau, maka kita sendiri tidak mampu menjangka bila akan berlaku musibah seperti kemalangan jalan raya, sakit kronik atau hilang upaya yang akhirnya akan memberi kesan dan membebankan ahli keluarga, anak-anak dan diri sendiri. 

Sesungguhnya Malang Tidak Berbau

Bak kata pepatah “Sediakan payung sebelum hujan”. Oleh itu, setiap individu perlu membuat persiapan awal atau “Back Up Plan” dalam menghadapi waktu-waktu kecemasan yang tidak dapat dijangka sama sekali. Namun adakah kita sedar setiap hari kita berhadapan dengan risiko kemalangan ketika pergi dan balik ke tempat kerja? 

Menurut laporan akhbar Kosmo, bilangan kes kemalangan meningkat 3.3 peratus iaitu 3,819 kes apabila sejumlah 117,934 kes dicatatkan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini (2015) berbanding 114,115 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Persoalannya, adakah anda sudah dilindungi oleh apa-apa perlindungan insurans seperti insurans nyawa atau insurans kemalangan peribadi? 

Ya, anda telah dilindungi oleh insurans oleh pihak majikan. Namun adakah ianya cukup untuk menampung kos kehidupan dan dalam masa yang sama anda perlu menanggung isteri, anak dan keluarga. Semakin terbeban apabila anda diberhentikan kerja dan perlu menampung kos rawatan dan perbelanjaan harian.

Maka dalam situasi kecemasan dan terdesak sebegini, persepsi yang menyatakan insurans tidak penting secara tidak langsung akan bertukar kepada betapa pentingnya perlindungan insurans asas mahupun tambahan. Sekurang-kurangnya, ia dapat menggurangkan beban anda dikala musibah menimpa.

Justeru setiap individu perlu mempunyai kesedaran dalam mencari alternatif dalam merancang pelan perlindungan kewangan terutama diwaktu kejadian tidak terduga menimpa. Bukan menjadi suatu kerugian dengan melengkapkan diri dengan perlindungan tambahan seperti insurans demi melindungi diri dan insan tersayang.

Sumber Foto:

No comments:

Post a Comment