SEGAMAT 29 Mei - Kementerian Pendidikan digesa mengkaji penyediaan perlindungan insurans kemalangan kepada guru-guru di negeri ini yang mungkin berhadapan bahaya sewaktu menjalankan tugas terutama di kawasan pedalaman yang mempunyai prasarana kurang sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, perkara ini perlu dipandang serius pihak kementerian kerana sebilangan guru terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka semata-mata untuk ke sekolah.
“Memang ini tanggungjawab yang perlu ditempuhi oleh seorang guru tetapi kementerian juga perlu menjaga kebajikan guru dan keluarga mereka seperti perlindungan insurans sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Perlindungan insurans juga perlu diberikan kepada guru yang mengiringi pelajar untuk aktiviti luar seperti sukan dan rombongan sekolah sama ada untuk jangka masa pendek atau sebaliknya,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru DUN Kemelah 2015 di sini semalam.
Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Azman Adnan; Pegawai Pendidikan Islam Daerah Segamat, Zamri Mo’men; Pentadbir Tanah Daerah, Muzaldin Mohamed dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Segamat, Sulaiman Ismail.
Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata, bukan hanya pelajar sahaja perlu dilindungi insurans malahan guru juga perlu mendapat perlindungan serupa.
“Sebelum ini terdapat beberapa kes guru yang terlibat kemalangan semasa menjalankan tugas dan ada yang tidak diberi pembelaan yang sewajarnya.
“Kita tidak mahu berulang kejadian seperti seorang guru dari Segamat yang membawa anak muridnya menyertai pertandingan tetapi apabila berlaku kemalangan sehingga mengorbankan nyawa pelajar tersebut, ibu bapa bertindak menyaman guru tersebut atas dasar kecuaian,” katanya.
Sumber artikel: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment