MAYO Clinic yang dipercayai sumber rujukan utama golongan perubatan moden mendapati pemanis tiruan adalah selamat dan tidak mengganggu paras gula darah.
Kenyataan tersebut berdasarkan artikel berjudul Artificial Sweeteners and Other Sugar Substitutes yang memuatkan kenyataan berkaitan. Kepercayaan yang sama juga dipercayai dipegang sebahagian besar golongan perubatan moden, pakar dietetik, pakar nutrisi dan wartawan.
Pada bahagian akhir artikel minggu lepas penulis sangkal kepercayaan tersebut. Sangkalan penulis adalah bersandarkan kepada sebuah kajian berjudul Artificial Sweeteners Induce Glucose Intolerance by Altering the Gut Microbiota yang diterbitkan dalam jurnal Nature (9 Oktober 2014).
Kumpulan penyelidik kajian tersebut mendapati pengambilan pemanis tiruan tanpa kalori yang biasa ditambah dalam makanan terproses menyebabkan pembentukan ‘tidak toleran kepada glukos’ (glucose intolerance) melalui proses perubahan komposisi serta fungsi mikroflora usus.
Selepas menjalankan kajian pada tikus, penyelidik kajian tersebut menjalankan kajian ke atas subjek manusia. Dalam uji kaji pertama, penyelidik menganalisis paras gula darah dan koloni bakteria pada 381 orang subjek yang mengambil bahagian.
Seperti dijangka, penyelidik kajian mendapati subjek yang mengambil pemanis tiruan pada paras tinggi mengalami gangguan metabolisme termasuk peningkatan berat badan serta mengalami perubahan koloni mikroflora usus yang ketara.
Gangguan metabolik
Keputusan daripada kajian kedua yang juga melibatkan subjek manusia pula menunjukkan 4 daripada 7 subjek yang mengambil dos saccharin engalami perubahan koloni mikroflora selain mengalami peningkatan gula darah.
Kajian-kajian tersebut mendapat perhatian bijak pandai misalnya daripada saintis saraf Purdue University, Dr Susan Swithers yang menyatakan dos yang diambil oleh kumpulan subjek kajian menunjukkan kesan gangguan akibat pengambilan pemanis tiruan terhadap paras gula darah dan koloni bakteria berlaku pada jangka masa yang pendek.
Namun ia menerima kritikan daripada saintis makanan Stanford University, Dr Christopher Gardner. Beliau berpendapat dos yang diberikan kepada kumpulan subjek kajian tidak sesuai.
Kumpulan subjek manusia diberikan saccharin 5 mg/kg berat badan setiap hari. Ini ialah dos maksima yang dicadangkan oleh FDA. Maksudnya setiap subjek yang memiliki berat badan 60 kg perlu mengambil 300 mg saccharin setiap hari!
Menurut Dr Gardner, dos tersebut serupa seperti seorang dengan berat badan 68 kg mengambil 42 tin air soda berkarbonat setiap hari.
Bagaimanapun, ramai pengkritik berpendapat kajian seperti ini tidak harus diketepikan begitu sahaja. Jika penemuan ini boleh diulangi dengan kejayaan dalam kajian lain misalnya dengan bilangan subjek kajian yang lebih besar serta dos yang lebih munasabah, maka ia akan memberi mesej kepada pelbagai golongan.
Mesejnya ialah pemanis tiruan menyebabkan gangguan metabolik kepada sesetengah orang.
Ia juga tidak selamat untuk orang awam dan juga penghidap diabetes. Berikut ialah beberapa kajian sains menunjukkan pemanis tiruan dipercayai menimbulkan beberapa gangguan metabolik kepada tubuh.
Kajian berjudul Uncoupling sweet taste and calories: Comparison of the effects of glucose and three intense sweeteners on hunger and food intake (Physiology and Behavior, 1988) mendapati pemanis tiada/rendah kalori boleh menyebabkan perubahan pada selera makan. Daripada tiga jenis pemanis tiruan yang diuji, aspartame didapati menunjukkan kesan paling jelas.
Tambah berat badan
Kajian berjudul Oral stimulation with aspartame increases hunger. Yang terbit dalam jurnal yang serupa (1990) pula menunjukkan aspartame menyumbang kesan kepada selera makan berdasarkan masa iaitu menyebabkan penurunan sementara diikuti dengan peningkatan kadar rasa lapar yang berkekalan.
Sebuah kajian epidemiologi dikenali sebagai San Antonio Heart Study (2005) yang dijalankan selama 25 tahun menunjukkan mengambil soda diet meningkatkan risiko peningkatan berat badan yang serius – jauh lebih tinggi berbanding dengan pengambilan soda biasa.
Dalam sebuah kajian lain seperti dilaporkan dalam jurnal Appetite (2012), kumpulan penyelidik mendapati kedua-dua saccharin dan aspartame menyebabkan peningkatan berat badan yang lebih besar berbanding dengan gula. Kerana kesuntukan ruang, penulis hanya memilih beberapa hasil kajian seperti yang dipaparkan di atas.
Mengapa orang ramai mudah percaya kepada informasi yang disampaikan media dan golongan perubatan moden misalnya mengenai pandangan pemanis tiruan adalah selamat diambil orang awam dan penghidap diabetes serta perkara lain berkaitan dengan penjagaan kesihatan?
Berikut ialah pandangan penulis. Satu daripada punca suatu kepercayaan dipegang secara berterusan oleh golongan perubatan moden, pakar dietetik mahu pun ahli nutrisi moden ialah sikap fanatik kepada sesuatu informasi yang diketahui misalnya daripada buku mata pelajaran di universiti.
Sebahagian besar golongan wartawan dan penulis pula fanatik kepada informasi yang disebarkan oleh media misalnya Mayo Clinic.
Katakanlah pembaca dapati seorang wartawan atau penulis menyatakan Mayo Clinic sebagai sumber rujukan dalam tulisan mereka. Apabila ditanya mengapa mereka bertindak demikian, kemungkinan besar mereka akan menyatakan media tersohor dan golongan doktor seluruh dunia menjadikannya sebagai sumber rujukan.
Tambahan pula, Mayo Clinic memang memiliki sejarah yang panjang serta cemerlang terutama dalam bidang penyelidikan perubatan.
Pakar bertaraf dunia
Cuba taip what is Mayo Clinic di Google. Jawapan ringkas untuk pembaca tersedia di barisan pertama muka pertama yang berbunyi Mayo Clinic is a nonprofit worldwide leader in medical care, research and education for people from all walks of life.
Maksudnya dalam bahasa Melayu ialah Mayo Clinic merupakan peneraju sedunia tidak berasaskan keuntungan dalam bidang perubatan, penyelidikan dan pendidikan untuk orang ramai pelbagai golongan.
Bagi pengkritik berilmu pula terutama yang memandang serta meneliti sesuatu perkara dari sudut yang berbeza-beza akan mendapati sesungguhnya ilmu atau informasi yang disampaikan oleh Mayo Clinic tidak lepas daripada kecelaruan di sana-sini.
Golongan perubatan moden mungkin tidak senang jika mereka tahu ada golongan atau orang yang cuba mengkritik Mayo Clinic. Mana tidaknya. Ia kerana mereka percaya Mayo Clinic yang dibarisi oleh lebih 3,000 pakar perubatan bertaraf dunia sudah tentu sentiasa menyumbang yang terbaik dalam bidang perubatan dan pendidikan.
Apa pun gelaran dan sanjungan terhadap sesuatu badan atau organisasi termasuk Mayo Clinic, namun ia tidak bebas daripada kelemahan. Sebahagian kelemahan diri jarang-jarang dapat dikesan oleh diri sendiri.
Ia dapat dikesan oleh orang luar lingkungan. Ia juga dapat dikesan jika mekanisme penambahbaikan diubahsuai agar kelemahan sentiasa dapat diperbaiki.
Pemanis tiruan saccharin dan aspartame meningkatkan berat badan. - Gambar hiasan.
Sumber artikel:
http://www.sinarharian.com.my/rencana/pemanis-tiruan-dijamin-selamat-1.334765
No comments:
Post a Comment